Tema

Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek perhubungan sastera dengan alam. Antaranya termasuklah aspek-aspek agama/ spiritualiti/ falsafah, teori dan kaedah yang dalamnya termasuk pula estetika, kritikan, penghasilan dan penghayatan karya. Karya-karya yang ditanggapi boleh meliputi karya-karya tradisional dan moden dari mana-mana belahan dunia.

Justeru, kertas kerja boleh ditulis mengenai mana-mana perkara berikut:

i. Agama/ spiritualiti/ falsafah, alam dan  sastera

ii. Estetika-eko (Ecoestatics)

iii. Kritikan-eko (Ecocriticism)

iv. Pohon/ gunung/ sungai/ haiwan suci (yang diberkati atau istimewa) dan lain-lain dalam sastera

v. Sastera dan krisis alam sekitar

vi. Kajian/ kritikan ke atas karya moden/ tradisional

Seulas Pinang




“Dan apabila ia berpaling dari kamu, ia berjalan di atas bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman serta binatang ternakan. Dan Allah membenci orang yang melakukan kerosakan”.

[al-Quran: surah al-Baqarah ayat 205]




Bagi suku kaum Dayak Kenyah di Indonesia mereka percaya alam sekitar bukan sahaja sebagai sumber penyumbang makanan, sebaliknya lebih daripada itu. Menurut orang Dayak Kenyah, alam sekitar memiliki makna yang lebih dalam dan luas tidak hanya dalam erti material, tapi juga bukan material. Bagi mereka, alam tidak hanya bererti pohon atau kayu-kayuan, tapi juga bermakna ritual atau budaya.

(Martin Billa, Alam Lestari dan Kearifan Budaya Dayak Kenyah)




Tanah perkuburan orang Cina selalunya terletak di lereng-lereng bukit. Letaknya kubur di atas bukit berdasarkan kepada sistem Feng Shui. Lokasi kubur di bahagian atas bukit dikatakan lebih baik daripada yang terletak di kaki bukit. kubur yang terletak di atas bukit lebih tinggi martabatnya berbanding di kaki bukit. masyarakat Cina percaya dewa dewi akan turun di atas bukit. Jadi, roh-roh yang mati itu akan diziarahi dan dirahmati oleh dewa dewi. 

(Ann Wan Seng, 1994:57-58)




Falsafah alam dalam ajaran agama Buddha menganggap pohon Bodhi sebagai pohon yang suci. Hal ini kerana, di bawah pohon Bodhilah Buddha mendapat pencerahan dalam dirinya.

(Ahmad Shalaby, 1970: 145)




“Alam Melayu”, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan mampu bermadah secara bernas setanding dengan pujangga. Dalam alam Melayu juga, manusia (khasnya shaman, pawang, bomoh, sufi dan wali Allah) boleh berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkat yang sukar diterima dan dibayangkan oleh manusia sekular. Kemampuan berinteraksi tersebut juga merupakan landasan yang membuka jalan bagi manusia Melayu supaya mampu hidup secara harmoni dengan alam tabii.

(Hairudin Harun, 2001: 11)




 “Dan tiada satu pun di antara haiwan melata di bumi ataupun burung yang terbang dengan dua sayapnya melainkan umat-umat seperti kamu; tiada satu pun yang Kami lupakan di dalam al-kitab, kemudian kepada Tuhannya mereka dikumpulkan.”

[al-Quran surah Al-An‘am: 38]




“Menyentuh perkara tumbuh-tumbuhan sebagai bahan ubat-ubatan ini, maka Kepulauan Melayu ini bolehlah disifatkan sebagai sebuah gedung ubat yang amat besar. Oleh yang demikian, seperti juga peribumi bahagian-bahagian lain di  muka bumi ini, orang Melayu sudah juga mengetahui sejak zaman berzaman akan khasiat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan kediaman mereka”.

(A. Samad Ismail, Warisan Perubatan Melayu)




Orang Melayu melihat alam sebagai kiasan, sumber makanan, penghibur, penawar, tempat perlindungan, guru dan sebagainya. Orang Melayu selalu melihat alam sebagai cermin untuk dirinya, guru untuk keadaan dan nasibnya. Jadi padanya dunia dilihat sebagai terbahagi dua – dunia  alam raya, yang menjadi pembayang atau cermin untuk hidupnya, dan dunianya sendiri-dunia manusia.

(Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh 2007: 490)




“Sesungguhnya manusia mulai satu tahapan yang sangat harmoni dengan alam yang sehingga menghasilkan pantun berkenaan dengan alam 1001”.

Kalau puan, puan cerana,
  Ambil gelas di dalam peti;
 Kalau tuan bijak laksana,
  Binatang apa tanduk di kaki.

‘Jawapan daripada pantun ini adalah ayam di mana taji pada bahagian kaki ayam’.

(Tenas Effendy: Budayawan)




“…kepada seorang penyair yang besar, kealaman yang jenuh dengan makna kemanusiaan ini dilagangkan melalui metafora…”

(Sasterawan Negara Shahnon Ahmad [1992: 71] dalam buku Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan)




Memandang keindahan alam itu menambahkan mahal harga diri. Kemahalan harga itu memunculkan banyak pengertiannya. Mahal tugas di sisi Allah atau mahal kerana mengetahui hikmat dari alam!. Tahulah, kenalilah diri kita ini hanya satu perlakuan saja bila dibandingkan dengan kekuasaan Allah!. Allahlah yang melukiskan segala cerita manusia malah semuanya apa-apa yang di langit dan di bumi.

(Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, [1963: 29] dalam buku Falsafah Alam)




“…dengan banyak penggunaan kealaman juga seseorang penyair secara indah bijaksana melahirkan fikirannya, menggambarkan gerak perasaannya dan juga melukiskan suasana hatinya. Fikiran, perasaan dan suasana hati ini akan menjadi begitu pejal dan majal kalau seorang penyair itu tidak bijak mengasosiasikannya dengan makna-makna yang diperlihatkan melalui fiil kealaman yang pelbagai…”

(Sasterawan Negara Shahnon Ahmad [1992: 71] dalam buku Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan)

Hak Cipta Terpelihara 2010 Persidangan Kebangsaan Alam dalam Kesusasteraan
Penafian: Pihak penganjur dan Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau masalah yang timbul berkaitan persidangan mahupun penggunaan laman web ini.
Webmaster