Latar Belakang

Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia dan benda-benda ciptaannya, tetapi meliputi hubungan manusia dengan alam seperti flora dan fauna, gunung-ganang, laut dan sungai, serta udara dan atmosfera. Kesejahteraan yang dinikmati  oleh manusia sebahagian besarnya ialah hasil interaksi baiknya dengan alam. Namun, dalam mengejar pembangunan, manusia dengan menggunakan sains dan teknologi sering menguasai dan mengeksploitasi alam secara berlebihan. Natijahnya, kemurnian dan keseimbangan alam tidak dapat dikekalkan lagi. Oleh itu, berlaku pelbagai musibah yang tidak diingini seperti tanah runtuh, banjir kilat, ribut taufan, pencemaran udara, air dan darat, kepupusan tanaman, habitat, hujan asid, dan kini pemanasan global yang semuanya menyumbang kepada kemusnahan ekosistem dan ketidakstabilan hidup manusia sendiri.
Dalam konteks sastera dan seni, alam yang luas, indah dan penuh misteri, memberi inspirasi dan merangsang kreativiti seniman. Unsur-unsur alam boleh diungkapk secara literal, tapi dengan alam juga pengarang dapat  menampilkan makna atau mesej simbolik yang lebih sublim.
 Dalam sastera moden, kisah kehidupan yang mempamerkan keharmonian hubungan manusia dengan alam, atau sebaliknya ‘kemarahan’ alam terhadap tindakan manusia, sering dicerap oleh mata pengarang yang peka. Oleh itu, baik secara simbolik/ metaforikal ataupun secara literal, hubungan itu kerap diterap oleh pengarang ke dalam karya kreatifnya. Misalnya, musim salju yang sarat dengan kesan suka duka pada hidup manusia diadun Yasunari Kawabata di dalam Snow Country (Jepun); ragam sawah ladang, peralihan musim dan cuaca, dan serangan binatang liar digambarkan Shahnon Ahmad di dalam Ranjau Sepanjang Jalan (Malaysia), Kamala Markandaya di dalam The Nectar in a Sieve (India) dan N.V.M. Gonzales di dalam A Season of Grace (Filipina). Begitu juga, landskap, flora dan fauna, yang sarat dengan rahsia dan makna kehidupan misalnya, diungkap indah di dalam Demi Zaitun (Malaysia) oleh Noordin Hassan, Di Kaki Bukit Cibalak (Indonesia) oleh Ahmad Tohari, Shakuntala (India) oleh Kalidasa, Marionette (Myanmar) oleh Khin Myo Chit,  Harimau! Harimau! (Indonesia) oleh Mochtar Lubis dan The Great Tree of Avalon (Amerika) oleh T.A. Barron.  Karya-karya ini dihasilkan dengan estetika yang mesra alam dan perlu dihayati dengan kritikan-eko dan lain-lain yang bersesuaian pula.
 Dalam konteks tradisional, cerita suci atau mitos dan lagenda hadir dalam satu kompleks pemikiran mistikal yang memperlihatkan dengan lebih kental wujudnya kesatuan asasi antara manusia dan alam. Unsur-unsur alam (flora, fauna, lanskap, objek topografikal dll) merupakan elemen-elemen dasar yang membentuk struktur naratif suci dan lagenda ini. Dalam naratif dan puisi begini juga, terutama yang bertunjangkan agama, unsur-unsur alam seperti pohon, gunung  dan haiwan suci (yang diberkati atau istimewa) serta lain-lain lagi, hadir dalam satu kesatuan spiritual yang akrab dengan manusia. Penyatuan yang sedemikian, membina persepsi dan sikap masyarakat berkenaan terhadap alam umumnya; dan semua ini tampil dalam bentuk kepercayaan, ritual, adat-istiadat, pantang-larang, dan amalan hidup harian yang harmonis dan lestari. 
Dalam persidangan ini semua perkara dan unsur di atas akan direnung dan dibicarakan dalam konteks penciptaan karya sastera dan penghayatannya. Ia akan meliputi kedua-duanya estetika-eko (ecoestatics) dan kritikan-eko (ecocriticism).

Seulas Pinang




“Dan apabila ia berpaling dari kamu, ia berjalan di atas bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman serta binatang ternakan. Dan Allah membenci orang yang melakukan kerosakan”.

[al-Quran: surah al-Baqarah ayat 205]




Bagi suku kaum Dayak Kenyah di Indonesia mereka percaya alam sekitar bukan sahaja sebagai sumber penyumbang makanan, sebaliknya lebih daripada itu. Menurut orang Dayak Kenyah, alam sekitar memiliki makna yang lebih dalam dan luas tidak hanya dalam erti material, tapi juga bukan material. Bagi mereka, alam tidak hanya bererti pohon atau kayu-kayuan, tapi juga bermakna ritual atau budaya.

(Martin Billa, Alam Lestari dan Kearifan Budaya Dayak Kenyah)




Tanah perkuburan orang Cina selalunya terletak di lereng-lereng bukit. Letaknya kubur di atas bukit berdasarkan kepada sistem Feng Shui. Lokasi kubur di bahagian atas bukit dikatakan lebih baik daripada yang terletak di kaki bukit. kubur yang terletak di atas bukit lebih tinggi martabatnya berbanding di kaki bukit. masyarakat Cina percaya dewa dewi akan turun di atas bukit. Jadi, roh-roh yang mati itu akan diziarahi dan dirahmati oleh dewa dewi. 

(Ann Wan Seng, 1994:57-58)




Falsafah alam dalam ajaran agama Buddha menganggap pohon Bodhi sebagai pohon yang suci. Hal ini kerana, di bawah pohon Bodhilah Buddha mendapat pencerahan dalam dirinya.

(Ahmad Shalaby, 1970: 145)




“Alam Melayu”, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan mampu bermadah secara bernas setanding dengan pujangga. Dalam alam Melayu juga, manusia (khasnya shaman, pawang, bomoh, sufi dan wali Allah) boleh berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkat yang sukar diterima dan dibayangkan oleh manusia sekular. Kemampuan berinteraksi tersebut juga merupakan landasan yang membuka jalan bagi manusia Melayu supaya mampu hidup secara harmoni dengan alam tabii.

(Hairudin Harun, 2001: 11)




 “Dan tiada satu pun di antara haiwan melata di bumi ataupun burung yang terbang dengan dua sayapnya melainkan umat-umat seperti kamu; tiada satu pun yang Kami lupakan di dalam al-kitab, kemudian kepada Tuhannya mereka dikumpulkan.”

[al-Quran surah Al-An‘am: 38]




“Menyentuh perkara tumbuh-tumbuhan sebagai bahan ubat-ubatan ini, maka Kepulauan Melayu ini bolehlah disifatkan sebagai sebuah gedung ubat yang amat besar. Oleh yang demikian, seperti juga peribumi bahagian-bahagian lain di  muka bumi ini, orang Melayu sudah juga mengetahui sejak zaman berzaman akan khasiat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan kediaman mereka”.

(A. Samad Ismail, Warisan Perubatan Melayu)




Orang Melayu melihat alam sebagai kiasan, sumber makanan, penghibur, penawar, tempat perlindungan, guru dan sebagainya. Orang Melayu selalu melihat alam sebagai cermin untuk dirinya, guru untuk keadaan dan nasibnya. Jadi padanya dunia dilihat sebagai terbahagi dua – dunia  alam raya, yang menjadi pembayang atau cermin untuk hidupnya, dan dunianya sendiri-dunia manusia.

(Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh 2007: 490)




“Sesungguhnya manusia mulai satu tahapan yang sangat harmoni dengan alam yang sehingga menghasilkan pantun berkenaan dengan alam 1001”.

Kalau puan, puan cerana,
  Ambil gelas di dalam peti;
 Kalau tuan bijak laksana,
  Binatang apa tanduk di kaki.

‘Jawapan daripada pantun ini adalah ayam di mana taji pada bahagian kaki ayam’.

(Tenas Effendy: Budayawan)




“…kepada seorang penyair yang besar, kealaman yang jenuh dengan makna kemanusiaan ini dilagangkan melalui metafora…”

(Sasterawan Negara Shahnon Ahmad [1992: 71] dalam buku Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan)




Memandang keindahan alam itu menambahkan mahal harga diri. Kemahalan harga itu memunculkan banyak pengertiannya. Mahal tugas di sisi Allah atau mahal kerana mengetahui hikmat dari alam!. Tahulah, kenalilah diri kita ini hanya satu perlakuan saja bila dibandingkan dengan kekuasaan Allah!. Allahlah yang melukiskan segala cerita manusia malah semuanya apa-apa yang di langit dan di bumi.

(Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, [1963: 29] dalam buku Falsafah Alam)




“…dengan banyak penggunaan kealaman juga seseorang penyair secara indah bijaksana melahirkan fikirannya, menggambarkan gerak perasaannya dan juga melukiskan suasana hatinya. Fikiran, perasaan dan suasana hati ini akan menjadi begitu pejal dan majal kalau seorang penyair itu tidak bijak mengasosiasikannya dengan makna-makna yang diperlihatkan melalui fiil kealaman yang pelbagai…”

(Sasterawan Negara Shahnon Ahmad [1992: 71] dalam buku Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan)

Hak Cipta Terpelihara 2010 Persidangan Kebangsaan Alam dalam Kesusasteraan
Penafian: Pihak penganjur dan Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau masalah yang timbul berkaitan persidangan mahupun penggunaan laman web ini.
Webmaster